Theme Song

06 October, 2007

Pengumuman

Assalamualaikum w.b.t

Dengan penuh rasa rendah diri dan hormat kepada rakan-rakan sekalian,

Ini merupakan ‘entry’ yang bertujuan untuk menjelaskan dengan semuktamad yang mungkin akan salah faham dan sangkaan-sangkaan yang belum tentu kesahihannya kepada komiti KUD Dublin Week. Kami berterima kasih atas keprihatinan rakan-rakan yang aktif menyampaikan pendapat, dan komen.

Pertama sekali, isu yang timbul hanyalah berkaitan dengan Dublin Gig, dan tidak mengenai Dublin Games, Dialog bersama pemimpin mahupun Jamuan Rumah Terbuka KUD yang juga merupakan aktiviti-aktiviti Dublin Week.

Untuk perhatian dan makluman rakan-rakan sekalian, tujuan Dublin Gig diadakan adalah sebagai satu saluran kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berbakat dalam bidang muzik. Kami juga sedar ramai pelajar-pelajar yang terdiri daripada golongan muda-mudi yang mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik.

Kami telah mengadakan perbincangan mengenai perjalanan majlis tersebut, dan ditekankan disini bahawa kami akan bertindak dengan setegas-tegasnya mengenai beberapa perkara terutamanya alcohol dan penggunaan barang-barang larangan. Mungkin sudah menjadi dogma kepada umum apabila disebut Gig, yang difikirkan adalah benda-benda tak elok sahaja. Dublin Gig tidak ubah seperti pertunjukan ‘talent time show’ sahaja.

Untuk pengetahuan rakan-rakan, program ini telah dirancang sejak beberapa bulan yang lepas dan Minggu Dublin dianjurkan tidak semata-mata untuk sambutan Aidilfitri, hanya kebetulan sahaja. Matlamat kami dengan penganjuran Dublin Gig ini adalah spesifik dan disasarkan kepada golongan yang menggemari muzik ‘live’.

Diharap dengan penjelasan ini, segala kesangsian mengenai KUD dan tanggapan-tanggapan negatif terhadap kami dapat difikirkan semula. Semoga program ini akan membawa manfaat kerana KUD adalah sebuah organisasi yang berobjektifkan kemasyarakatan dan penganjur kepada aktiviti-aktiviti sosial yang positif.

Pihak KUD selepas ini akan menumpukan perhatian kepada kelancaran program-program lain yang telah dirancang sempena Dublin Week. Harap Maklum.

Sekian, terima kasih.